Dari Meja Pengerusi Kariah

ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNYA portal Masjid Putra Nilai mula dibangunkan. Saya dengan segala rendah diri mengajak dan mengalu-alukan para Jemaah dan seluruh komuniti Islam melayari portal rasmi masjid sebagai salah satu agen penyampai maklumat dan informasi yang sangat diperlukan di zaman moden tanpa sempadan ini.

Sebagai salah sebuah masjid terunggul di daerah Seremban, Masjid Putra Nilai bersungguh-sungguh untuk meneraju dan mempelopori usaha perkongsian maklumat di kalangan Jemaah dan komuniti setempat. Semoga perkongsian ini dapat merealisasikan hasrat untuk menyebarkan ilmu dan dakwah seperti yang dituntut oleh agama.

Sehubungan itu, saya memohon khususnya para Jemaah dan komuniti Islam keseluruhannya bersama-sama memantapkan kandungan portal dengan memberi maklum balas sewajarnya dan membantu menyebarkan maklumat dan informasi dari semasa ke semasa. In Syaa Allah, dengan berbuat demikian hasrat pihak berkuasa untuk mentransformasikan masjid sebagai Pusat Hentian Setempat (One-Stop-Centre) akan tercapai dan perlu disokong. 

Usaha pembangunan dan penambahbaikan portal dan teknologi web Masjid Putra Nilai akan dilakukan dari semasa ke semasa seiring dengan kemajuan ICT. Tidak syak lagi usaha ini melibatkan dana yang besar jumlahnya. Sekali lagi saya rasa terpanggil serta memohon kepada semua Jemaah dan komuniti Islam keseluruhannya sudi menghulurkan sumbangan dalam bentuk tunai, perkakasan atau perisisan bagi menjamin usaha penyebaran maklumat dan dakwah lebih pantas dan luas. Dengan itu program pengimarahan Masjid Putra Nilai dapat dirancang dan dilaksanakan melalui hebahan dan capaian maklumat yang  efisyen, berhemah dan mudah.

Akhir sekali, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada Team ICT Masjid Putra Nilai yang diamanahkan untuk merancang dan membangunkan keperluan serta kemudahan ICT. Saya juga mengalu-alukan sebarang pandangan dan teguran yang membina bagi memastikan web rasmi ini menjadi wadah sumber maklumat yang diyakini dan berkualiti.

Sekian. Wasallam.

 

DATO’ HAJI WAZIR B HAJI MUAZ
Pengerusi Kariah Masjid Putra Nilai, Negeri Sembilan