Sejarah Ringkas

 

Latar Belakang

KERJA-KERJA pembinaan dan pembangunan Masjid Bandar Baru Nilai bermula setelah penentuan arah kiblat oleh Jabatan Mufti Negeri, Negeri Sembilan selesai dilaksanakan. Masjid Bandar Baru Nilai siap dibina sepenuhnya pada tahun 2004 dengan kos sebanyak RM6.3 juta di atas sebidang tanah berkeluasan 3.0 hektar kurniaan Kerajaan Negeri dengan kerjasama para  penduduk di sekitar Bandar Baru Nilai.

Pada ketika itu terdapat 13 taman-taman perumahan di sekitar Bandar Baru Nilai yang mana sebahagian besar penghuninya sangat memerlukan sebuah masjid untuk mereka berjemaah mendirikan solat fardhu, terutamanya solat fardhu Jumaat serta melaksanakan aktiviti berkaitan agama dan syariat.  

Oleh yang demikian, sebuah jawatankuasa sementara (ad hoc) ditubuhkan bagi memberi pandangan dan kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya Negeri yang diamanahkan menyiapkan pembinaan masjid ketika itu. Jawatankuasa ini juga kemudiannya diminta meneruskan khidmat mengurus dan mentadbir masjid setelah masjid ini siap sepenuhnya. Kini, Yang Berbahagia Dato’ Haji Wazir b Haji Muaz dilantik sebagai Nazir mulai 2004 sementara Imam Azhari Awang pula dilantik sebagai Imam1 mulai 2011.

 Masjid Putra Nilai

Setelah siap pembinaannya, masjid ini didaftarkan sebagai Masjid Bandar Baru Nilai dan sekarang dikenali dengan nama Masjid Putra Nilai. Pertukaran nama ini berkaitan dengan perubahan nama Bandar Baru Nilai yang sekarang dikenali sebagai Putra Nilai.

Masjid Putra Nilai merupakan salah satu mercu tanda Putra Nilai dengan rekaan kubah berwarna kuning serta menara azan jelas kelihatan ketika melalui lebuhraya Putra Nilai - KLIA. Reka bentuknya menarik serta menampilkan kesan seni bina Timur Tengah.

Masjid ini sentiasa menjadi kunjungan komuniti Islam antarabangsa yang ramai menuntut atau bertugas di beberapa institusi pengajian tinggi dan organisasi awam dan swasta yang terdapat di Putra Nilai terutamanya pada setiap solat fardhu Jumaat.

Transformasi Masjid

Usaha mentransformasi masjid sebagai pusat hentian setempat giat dilakukan dari semasa ke semasa oleh pihak pengurusan dan pentadbiran masjid. Selain menambahbaik kemudahan perkhidmatan serta prasarana, pihak masjid juga bersama-sama jemaah berusaha mengimarah serta menjayakan majlis-majlis ilmu yang berlangsung hampir setiap hari dalam bentuk pengajian kitab, tafsir, fiqah, usulludin, tassawuf serta tazkirah.

Masjid Putra Nilai juga sering dikunjungi agensi-agensi awam dan swasta serta individu untuk bekerjasama menganjurkan aktiviti berkaitan mengimarah masjid. Selain itu, kemudahan prasarana yang lengkap serta selesa menjadikan masjid ini menarik untuk mengadakan majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, aktiviti organisasi, kemasyarakatan dan sebagainya.

Kemudahan-kemudahan lain yang disediakan oleh masjid ialah sebuah bilik Pengurusan Jenazah, tempat letak kereta dan motor berbumbung, serta sudut bacaan dan sudut rest and go. Terdapat juga pejabat (cawangan) Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Seremban, serta pejabat Badan Khairat Kematian dan Kebajikan Masjid Putra Nilai.

Terkini, Jawatankuasa Pengurusan dan Pentadbiran Masjid sedang berusaha mengumpul sumbangan tunai daripada orang ramai untuk tujuan membina bangunan dua tingkat (tambahan) di kawasan lapang dan menara azan. Keseluruhan kos pembinaan dianggarkan sekitar RM500,000.00.

Bagi menjayakan hasrat serta setiap perancangan tercapai, pihak masjid juga mengharapkan para jemaah serta komuniti setempat terus menyokong setiap program dan aktiviti yang diadakan dari semasa ke semasa.