Articles

Serambi Masjid: Gedung ilmu agama

Oleh Mohd Fadly Samsudin

MASJID Putra Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan menjadi simbol kewujudan pusat ilmu di tengah-tengah pusat kegiatan ekonomi dan perdagangan terkenal yang menjual barangan pada harga borong.

Seperti di masjid lain di negara ini, Masjid Putra Bandar Baru Nilai turut menjadi medan pertemuan warganya selain menyediakan peluang mendalami pelbagai cabang ilmu menerusi pelbagai program yang dijalankan hampir setiap hari.

Mula beroperasi hampir tujuh tahun lalu, masjid yang berkonsepkan rekaan dari Timur Tengah itu menampilkan kemasan marmar dan penggunaan cermin kaca berwarna sebagai hiasan.

Kubah dan menara masjid itu jelas menjadi simbol masjid berkenaan di bandar Nilai. Masjid itu sering digunakan untuk mengadakan pelbagai aktiviti persatuan seperti kelas bagi pelajar institusi pengajian tinggi berhampiran dengannya.

Terdapat juga kelas al-Quran bagi kanak-kanak yang dianjurkan jawatankuasa masjid. Matlamat pihak pengurusan masjid itu mahukan seluruh masyarakat menggunakan institusi berkenaan sepenuhnya dan aktif menyertai apa saja program yang dianjurkan.

 

Pegawai Agama masjid berkenaan, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi berkata, masjid itu mula beroperasi pada Jun 2004 ketika Negeri Sembilan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-10.

“Pembinaan masjid yang menelan kos RM6.3 juta itu terletak di kawasan seluas tiga hektar yang berjiran dengan Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Nilai ini.

“Tidak hairanlah masjid ini sentiasa penuh hasil pengimarahan pelajar UIAM yang menggunakan kelas di dalam kawasan masjid ini. Malah, disebabkan lokasi masjid ini berhampiran dengan kawasan perdagangan di Nilai 3 maka ia sering dijadikan tempat persinggahan bagi mereka yang bermusafir selepas membeli-belah di sana,” katanya.

Beliau berkata, ahli kariah di kawasan Nilai memang memberikan komitmen padu terhadap apa saja program yang dijalankan.

“Semuanya ada di sini (masjid). Cakaplah hendak belajar apa insya-Allah pihak masjid akan cuba menyediakan aktiviti terbaik buat mereka.

“Antara program yang sering mendapat sambutan orang ramai ialah Kelas talaqi Al-Quran Bersanad yang berguru dengan Al-Sheikh Solah Muhammad Zaki Al-Qadiri, Kuliah Dhuha yang disampaikan ahli majlis fatwa Negeri Sembilan dan Terengganu, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang diadakan setiap hari bermula jam 8 hingga 10 pagi.

“Selain itu, masjid ini dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji Seremban akan menganjurkan kursus asas haji (bersiri) pada setiap musim haji,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata, pihaknya berusaha menjadikan masjid berkenaan sentiasa relevan untuk menyumbang ke arah memperkukuhkan nilai kemanusiaan berlandaskan Islam.

“Sesuai dengan matlamat itu, masjid ini tidak boleh sekadar beroperasi sebagai masjid tetapi perlu memenuhi keperluan masyarakat terutama aktiviti keilmuan serta kemudahan yang disediakan.

“Kita mahukan satu hari nanti bandar Nilai ini berupaya menjadi bandar ilmu dengan warganya sentiasa mengisi masa mereka dengan menuntut ilmu yang disampaikan melalui institusi masjid ini.

“Kita akan cuba berinteraksi dengan lebih kerap terutama dalam setiap sesi ceramah, pameran atau forum yang dijalankan. Segala maklumat dan aktiviti masjid boleh diikuti dengan melayari laman facebook, Masjid Putra Nilai Negeri Sembilan atau masjidputranilai.com,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/27
Sumber: Harian Metro