Dewan Solat

Masjid Putra Nilai amat bertuah kerana prasarana binaannya pada tahun 2004 dilengkapi dengan segala kemudahan untuk keperluan dan keselesaan jemaah. Di antaranya ialah Dewan Solat yang boleh menampung lebih 1,500 jemaah. Bilangan ini bertambah sekali ganda lagi apabila para jemaah memenuhi ruang-ruang legar dan siar kaki di sekeliling dewan untuk menunaikan solat fardhu terutamanya Solat Fardhu Jumaat serta Solat Sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

Hakikat pertambahan bilangan penduduk di Putra Nilai dari semasa ke semasa menyebabkan ruang untuk bersolat di masjid ini semakin sempit dan padat. Oleh yang demikian pihak pengurusan dan pentadbiran sedang berusaha untuk menambah keluasan ruang dengan cadangan untuk menutup secara berbumbung bagi kawasan terbuka di menara azan supaya boleh digunakan sebagai tempat bersolat dan menjalankan aktiviti lain.