Sunday August 25 , 2019
Text Size
   

Articles

Beli Rumah atau Sewa Rumah

Kediaman yang indah dengan penataan interior mengikut cita rasa tersendiri tentunya menjadi impian setiap insan. Bagaimanapun, sebelum ia direalisasikan, pastinya sebuah rumah amat diperlukan. Sama ada dibeli ataupun disewa, pilihan ini terbentang luas di hadapan mata dan terletak di tangan anda untuk menentukannya.



Bermula daripada isu Mac 2012, IMPIANA akan berbicara tentang tip pemilikan hartanah yang perlu diketahui oleh para pembaca melalui segmen Deko Sana Sini. Melalui segmen ini, penulis cuba memberikan gambaran sedikit sebanyak tentang isu dan aspek dalam memiliki hartanah yang akan dikupas melalui beberapa isu IMPIANA akan datang.

Penulis percaya memiliki sebuah kediaman indah merupakan impian setiap orang. Baik yang berkemampuan mahupun tidak, pasti tersemat di sanubari kita untuk berteduh dan tinggal bersama tersayang di sebuah ruang bernama rumah. Tafsiran kita tentang rumah rata-ratanya sama, iaitu sebagai sebuah ruang dalam struktur yang lengkap dengan dinding dan bumbung yang dapat menahan daripada cuaca dan iklim serta penceroboh. Ruang ini juga menjadi ruang aktiviti bagi kebanyakan orang sebagai tempat tinggal, bermain dan bekerja, selain membesarkan anak-anak tersayang.

Tahun 2012 diramal bakal menjadi tahun yang penuh dengan cabaran. Dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, ia tidak menjadi halangan buat kita semua untuk terus bergerak dan mara.  Buat mereka yang baru memulakan langkah dalam hidup, baik yang baru menamatkan pengajian, mahupun yang baru sahaja membina rumah tangga, pastinya rumah merupakan keperluan asas yang diperlukan oleh semua.

Bagi yang tercari-cari rumah idaman, pasti terdapat persoalan besar yang muncul dalam benak fikiran. Tentunya, persoalan sama ada mahu membeli ataupun menyewa rumah sering bermain di fikiran dan kedua-duanya memiliki kelebihan serta kekurangan tersendiri. Penulis ingin mengupas kedua-dua pilihan ini dengan melihat kepada perspektif yang mencakupi faktor-faktor tertentu, seperti kewangan, masa, proses dokumentasi dan kebebasan.

Melihat kepada faktor kewangan, pastinya, menyewa boleh memberi lebihan penjimatan kepada wang.  Ini sangat signifikan, terutamanya dalam jangka masa terdekat, seperti dalam tiga tahun pertama. Berbanding menyewa, jika mahu membeli rumah, anda perlu menyediakan sejumlah wang untuk bayaran pendahuluan serta kos-kos lain seperti cukai rumah, kos penyelenggaraan dan sebagainya.  Ini adalah sesuatu yang normal jika ingin memiliki sesuatu aset, seperti juga kereta dan sebagainya. Lazimnya, memiliki aset ini memberikan penjimatan dan pulangan kepada anda dalam jangka masa panjang. Misalnya, setelah enam tahun anda melalui tempoh pembayaran bayaran bulanan yang tetap dan tidak mengalami sebarang masalah, anda akan dapati jumlah pembayaran adalah jauh lebih rendah berbanding mereka yang membayar sewa, kerana penyewa perlu membayar mengikut harga rumah yang kian meningkat.

Membeli rumah juga memiliki kelebihan tertentu dari segi kewangan.  Selain boleh  menjadi aset di kemudian hari, kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah untuk menggalakkan rakyat Malaysia agar membeli rumah melalui potongan cukai dan potongan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kemudahan potongan daripada akaun KWSP misalnya memudahkan orang ramai tanpa perlu mencari sumber kewangan yang lain.

Jika perlu, anda boleh membuat pengiraan sama ada ingin membeli atau menyewa rumah dengan menggunakan kalkulator interaktif beli-sewa yang terdapat di sesetengah laman web hartanah. Ia membolehkan anda mengenal pasti kos yang diperlukan dengan membuat perbandingan antara kedua-dua pilihan ini. Pokoknya, lihat kepada bajet kewangan anda. Lihat kepada sumber kewangan dan pendapatan anda, adakah ia boleh menampung kos perbelanjaan yang diperlukan jika ingin membeli rumah. Atau adakah ia hanya sekadar dapat menampung kos untuk menyewa sahaja?

Selain itu, dari segi faktor masa, proses untuk memiliki sesebuah rumah mengambil masa yang agak lama berbanding menyewa. Untuk membeli rumah,anda perlu berurusan dengan pelbagai pihak, seperti  bank, pemaju, peguam dan sebagainya yang lazimnya mengambil masa dalam tiga ke empat bulan. Berbeza dengan menyewa, anda boleh berpindah masuk dan keluar dalam masa yang cukup singkat.

Dalam proses pemilikan rumah, pelbagai proses dokumentasi harus dilakukan. Ini dilakukan bagi mengesahkan status pembeli rumah agar benar-benar layak menduduki rumah tersebut dengan latar belakang kewangan yang kukuh agar dapat membayar bayaran bulanan kelak. Berbanding dengan menyewa, tiada dokumen khusus diperlukan,melainkan pembayaran deposit selama tiga bulan, yang mana deposit sekuriti dan utiliti boleh dipulangkan kembali.

Faktor kebebasan juga harus diambil kira. Bagi pembeli rumah, kebebasan dalam menata dekorasi dalaman adalah kepuasan hakiki. Pembeli bebas untuk menata hias rumah mengikut cita rasa tersendiri. Selain itu, pemilik rumah juga memiliki kebebasan sama ada mahu tinggal di rumah tersebut, atau dijadikan rumah persinggahan di hujung minggu mahupun disewa kepada orang lain. Pastinya kebebasan ini tidak boleh dinikmati oleh penyewa yang tertakluk kepada pemilik rumah. Namun, kebebasan yang dimiliki oleh penyewa adalah kebebasan untuk tinggal pada tempoh tertentu mengikut bulan atau tahun yang diingini dan juga kebebasan berpindah pada bila-bila masa atas tuntutan kerja dan sebagainya tanpa perlu risau akan rumah yang kosong! Pastinya, definisi kebebasan adalah berbeza bagi pembeli dan penyewa yang masih boleh dinikmati oleh kedua-dua pihak.

Paling penting, ia bergantung kepada anda untuk membuat pilihan yang terbaik, sama ada mahu membeli atau menyewa. Impian untuk memiliki sebuah rumah idaman merupakan sebuah impian serius yang boleh dicapai jika anda benar-benar merancang dengan baik. Tidak salah untuk memiliki rumah pada usia yang muda, akan tetapi pastikan diri anda cukup bersedia dari segi kewangan, seperti simpanan yang mencukupi dan kerjaya yang benar-benar stabil untuk melayakkan anda mendapat pinjaman rumah sekadarnya. Ini bagi mengelakkan daripada terkena risiko kegagalan bayar balik pinjaman yang boleh menjejaskan kehidupan anda kelak. Sebaiknya, untuk memiliki sebuah rumah, fikirkan realiti berbanding mimpi yang tidak berpijak di bumi nyata.



* Dapat edisi terbaru IMPIANA di pasaran - dengan Bahagian II bertajuk  "Rumah, bukan sekadar keperluan semata-mata, ia merupakan pelengkap kepada sebuah kehidupan"
Sources: Sinar Harian

 

Category: info

Malaysian Business Locations Directory

ONEXOX Peneraju Prabayar Kadar Jimat

Kini Sedang Online

We have 539 guests and 2 members online

Rekod Pelawat

884585
Today
Yesterday
This Week
Last Week
This Month
Last Month
All days
127
6519
6646
846007
103108
107693
884585

Your IP: 3.226.251.81
Server Time: 2019-08-26 00:29:15